Saturday, July 21, 2007

Menyertai Rombongan Meminang (On The Engagement Trail)


21 Julai 2007 bersamaan 6 Rejab 1428 Pagi ini aku menyertai rombongan ke Kangar Perlis khusus untuk melamar seorang gadis untuk keluarga Hj Md Fadzil bin Md Saud. Ta tahulah sebabnya mengapa aku diminta menjadi jurucakap bagi majlis itu. Yang aku tahu maybe I am a senior person dan ada hubungan keluargaan dengan Hj Md Fadzil melalui isteriku Wan Fatimah. Kalau aku renung balik mungkin ada sekali dua dimana aku pernah menjalankan tugas seperti itu.Dan itu pun dah lama dahulu.


Majlis ini kita sebutkan sebagai ' Melamar' atau 'Pertunangan' kerana acara 'Merisik / Menengok/ Meninjau' telah pun diuruskan oleh Hj Md Fadzil sendiri tempoh hari. Jadi senanglah sedikit kerana kita mengetahui pihak menunggu bersedia menerima khusus untuk tujuan dinyatakan diatas. Dalam zaman moden ini tidak ada lagi kes meninjau kerana teruna dan dara telah pandai memilih pasangan masing-masing.


Supaya kami sampai di rumah En Shahrirudin bin Hassan tepat jam 11.00 pagi rombongan telah bersedia untuk bertolak jam 10.00 pagi Dengan membawa lima bekas hantaran yang berisi sesuai dengan adat resam, kami memulakan langkah sebaik selesai doa. Tiba di rumah En Shahrirudin empat puluh minit kemudian, kami di sambut dengan mesra dan dipersilakan masuk. Sirih junjung mengekepalai barisan.


En Shahrirudin bin Hassan merupakan bapak kepada Cik Noor Hafni Syazriyanti yang bakal ditunangkan dengan Encik Faizol Faz bin Md Fadzil. Ramai keluarganya turut hadir untuk sama-sama memberi restu dan memberkati majlis. Tuan Hj Johare yang sempat saya berkenalan memulakan majlis dengan mengalu-alukan kedatangan kami dan tanpa panjang lebar pohon pihak kami memaklumkan hasrat dan tujuan.

Sebenarnya adat resam perkahwinan Melayu begitu indah dengan peringkat atau lapis-lapis tertentu. Bermula dari merisik dan membawa kepada melamar atau bertunang hingga ke perancangan khenduri , akad nikah, membatal air sembahyang, kelansungan perkahwinan (dengan bersanding), majlis kenduri di rumah pengantin perempuan kemudian rumah lelaki semuanya mempunyai hasrat tertentu. Malangnya demi menjimat dan meringkas sesuatu banyak tertinggal. Nampaknya yang sering diberi fokus ialah majlis khenduri, persandingan, perhiasan bilik pengantin dan pelamin.


Persetujuan dicapai. Pihak keluarga En Shahrirudin menetapkan Mas Kahwin RM 3000.00 dan Perbelanjaan RM 7000.00 Mengenai hantaran tidak pula diminta apa-apa dan terserah sahaja kepada pihak keluarga bakal pengantin lelaki. Tempoh pertunangannya ta'lama kerana kedua-dua pihak bersetuju majlis perkahwinan dilangsungkan pada 22 Disember 2007.

Dengan persetujuan itu, bekas cincin dengan kandungannya serta hantaran yang dibawa bersama di majukan kepada keluarga En Shahrirudin dan majlis ' Menyarong Cincin' dilangsungkan sebagai tanda puteri En Shahrirudin kini ditunangkan kepada putera En Mohd Fadzil. Majlis ini kami serahkan kepada kaum ibu yang dah lama menunggu saat-saatnya . Selesai sahaja serah menyerah, dan cincin disarongkan menandakan pasangan iti telah rasmi ditunangkan, acara doa diadakan bagi memberkati perhimpunan dan majlis yang mewujudkan hubungan kekeluargaan yang berkekalan. Kami percaya pasangan berbahagia itu serta ibu-bapa mereka turut rasa lega dan bersyukur. Hanya menunggu perancangan yang akan disediakan menjelang Disember ini.


Tentu sekali tetamu tidak akan pulang sebelum dijamukan dengan hidangan yang sedia menunggu. Pelawaan 'Sila! Sila! menjemput semua tetamu menjamah. Suasana majlis yang informal itu berakhir apabila rombongan kami memohon untuk berangkat pulang. Kalau tadi kami menyampaikan lima bekas tangan kini kami membawa balik sebelas bekas berisi dengan berbagai barangan sebagai tanda kemuliaan, kemesraan dan keikhlasan tuan rumah dan bakal bisan kepada Hj Md Fadzil .

Begitulah halnya. Apa yang diberi mendapat balasanya.











2 comments:

Azizi Ahmad Termizi: said...

Pak Non

Wow, I dread the day when I will be shoved to the front to do this sort of thing. But I guess I can't run away. Have two sons of my own to masuk meminang.

NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

Assalamualaikom Pak Non,

Kebelakangan ni Pak Shahidan dok buat banyak pembaharuan untuk memudahkan perkahwinan . Dia belum sentuh tentang perbelanjaan ni . Masih mahal , kesian kat anak teruna . Nanti kalau campur-campur boleh mencecah RM 25 ribu.

Zaman kita dulu kalau seribu tu hanya utk orang ternama saja . Kalau macam mak-bonda 75 ringgit saja .....apa nak dikatakan Pak Non no....Siti Nurhaliza / Datuk K lebih tinggi lagi .

Saja nak bergurau dgn Pak Non & Mak Wan.
My regards.