Sunday, September 14, 2008

BEDUK ,GENDANG RAYA ATAU GONG YANG MANA SATU?



Semasa semua orang telah mula menjamah makanan yang disediakan Alif seorang cucu kami berumur 8 tahun enggan berbuka puasa lagi kerana katanya beliau belum mendengar azan berkumandang. Luangan azan melalui peti television tepat pada 7.15 petang tidak meyakinkan anak kecil itu. Kebetulan pada petang itu kami berada di kawasan perumahan USJ 3 Subang Jaya Selangor, yang terletak jauh dari masjid terdekat. Alif setiap petang sudah biasa berbuka puasa sebaik sahaja mendengar suara azan dari masjid yang terdekat dengan rumahnya.Petang itu sepi. Jenuh pula kami meyakinkannya.

Begitulah nampaknya, kita telah berpandu kepada siaran tv atau radio untuk menentukan masa berbuka. Jam dinding atau jam tangan yang dimiliki pun tidak lagi memberi panduan. Mereka yang mengguna telefon bimbit canggih dapat juga siaran radio dan khususnya waktu tepat berbuka. Tidak ada problem lagi kini menentukan masa berbuka dimana saja kita berada. Alif anak kecil tadi masih terikat dengan suara azan.

Terbayang kita kepada masa lampau. Masa dulu-dulu. Masa tok atau ibu-bapak kita belum memiliki kemudahan seperti yang disebutkan tadi. Bagi mereka isyarat dari beduk atau gendang raya menjadi penentuan bagi banyak hal. Masa berbuka satu. Masa imsyak dan masa masuk waktu semuanya diisytiharkan melalui pukulan beduk atau gendang raya baik dari masjid atau surau-surau yang terdekat. Malah 'berita' pun disampaikan melalui pukulan yang membawa ertinya tersendiri.

Rindu pula kita kepada 'bunyian' tok-tok atau gendang raya masa lampau. Ia seolah-olah memberi satu nastolgia atau keheningan yang tak dapat dicari ganti. Malah dimana dapat kita lihat beduk atau gendang raya lagi? Susah benar. Kebanyakan gendang raya di masjid-masjid nampaknya telah hilang begitu sahaja. Masjid Zahir di Alor Star, masjid negeri paling dekat rumah kami semasa kanak-kanak dahulu pun tidak memiliki gendang raya besar yang pernah terletak dekat kolam air wuduknya.

Kalau hendak juga menemui peninggalan lama ini kemungkinan besar ada tersimpan di beberapa buah muzium dalam negara.

Gambar gendang istimewa dan tok-tok disebelahnya yang dilihat ini kebetulan diambil semasa kunjungan kami ke sebuah masjid di Kota Surabaya Jawa Timor. Di sana pusaka ini masih tersimpan dan digunakan.

Semoga diharap sekiranya ada pihak atau pencinta seni dan budaya yang terjumpa dengan khazanah ini berusaha dan menggalakkan simpanannya khusus untuk masyarakat setempat dan nilainya yang tinggi.


1 comment:

Queen Of The House said...

Imagine kalau azan, beduk, gendang etc semua di'haram'kan (sebab 'mengganggu' ketenteraman) .... what a big loss.