Malah ada berita yang menarik perhatian kita disamping mengundangkan pelbagai soalan. Tiba sahaja awal Ramadan ini, kita berhadapan dengan isu-isu :-
1. Dua buah kapal MISC di tahan lanun. Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal pada 19 Ogos dan Bunga Melati 5 dengan 41 anak kapal pada 29 Ogos 2008. Dikabarkan para lanun ( pirate moden ini) minta RM10 juta ( kini diperbetulkan kepada RM3 juta sahaja). Pula kini kapal MISC dilarang menggunakan Teluk Aden. Kalau begitu mana jalan lain ke Eropah atau Saudi Arabia? Awat kita hendak kelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan semula?
2. Salah seorang kelasi atau anak kapal Bunga Melati mendapat harapan besar kerana tunangnya di Kelantan melahirkan harapan agar Kerajaan/ MISC membayar tuntutan segera bagi membolehkan mereka berhari raya bersama. Kadang-kadang kita lupa keadaan dan kegentingan sebenarnya.
3. Pula kita terperanjat dengan berita beberapa buah Sekolah Cina swasta di Perak kini menerima tanah percuma bukan kecil tapi seluas 44 hektar sebuah. Ini merupakan kali kedua kerajaan Perak menghadiahkan tanah percuma. Sekarang UMNO minta supaya kemudahan yang sama diberi kepada Sekolah Agama Islam. Amboi tak terfikirkah dahulu untuk berbuat demikian? Begitulah halnya kalau ada pemikiran baru dibanding dengan yang lapuk dan buntu!
4. Harap pagar jaga padi. Apa pula terjadi?. Agensi Puspukom yang bertanggunjawab mengawal keselamatan dan melindungi nyawa dengan memeriksa kenderaan sebelum diluluskan berada di jalan raya kini dilaporkan menerima serbuan BPR dan anak-anak buahnya dituduh menerima suapan lumayan. Semuanya akibat bonus yang diberi kepada pemilik kenderaan. Mengapa tidak 'kereta' buruk pun berlumba untuk diluluskan agar tuannya boleh dapat RM 625.00 sebuah. Terfikir pula beribu kenderaan di gudang kereta terpakai. Untung besar bagi mereka.
5. Malam ini TPM pula membuat kenyataan kekesalan diatas sebutan Ketua Bahagian UMNO di Pulau Pinang. Desakan dari banyak pihak menyebabkan UMNO pula meminta 'maaf' bagi pihaknya.Ta'ada suara dari No. 1 kah?
6. Pula hendak tambah cuti awam lagi. Katanya 16 September. Kaedah
politik sentiasa mencari umpan baru.
Kini nampaknya kita mula diserang di dalam dan di luar negara. Sudah ada pihak yang bertindak merampas hak kita di luar negara walaupun bermula dengan sebuah kapal.
Maka timbullah pertanyaan. Kemana kita menuju sekarang?
Syukurlah cerita bubur lambuk sebanyak 7.500 paket diedarkan pada hari pertama Ramadan di Masjid Kampong Baru Kuala Lumpur membawa erti yang besar. Pihak yang menyediakannya menyahut seruan untuk memberi layanan dan makan-minum sewajarnya sempena Muslim dan Muslimat berbuka puasa.Saya pernah ke masjid ini satu masa dahalu khusus untuk berbuka puasa dan merasi bubur lambuknya yang istimewa. Nampaknya kena pi sekali lagi sebab pada kali itu sampai saja giliran, bekalan dah habis.